Tuesday, November 4, 2008

Siapa yang harus dipersalahkan?

Siapa yang harus dipersalahkan?
Adakah orang Islam atau bukan islam yang harus dipersalahkan. Di dalam Islam terdapat 2 fardu iaitu Fardu Ain dan Fardu Kifayah. Fardu Ain hampir semua memahaminya, tetapi fardu kifayah bagaimana?

Itulah akibatnya apabila Islam hanya atas dasar ikutan dan atas dasar buat tanpa ilmu. Kebanyakannya tidak faham sedikitpun maksud tersirat di dalam perbuatan yang membabitkan Islam.

Fardu kifayah sangat luas, yang orang tahu mandi mayat. Kalau dalam satu kampung tidak tahu mandikan mayat maka jatuhlah dosa ke atas satu kampung. Untuk memandikan mayat pula ada hukum-hukum atau syarat-syarat tertentu seperti yang memandikan jenazah perempuan perlulah perempuan yang mandikan atau pelbagai syarat atau hukum yang telah ditetapkan.

Tetapi bagaimana pula fardu kifayah terhadap makanan. Kalau makanan yang hendak dimakan oleh orang Islam kenapa tidak disediakan oleh orang Islam sendiri. Bukankah orang Islam lebih mudah mengawal kualiti makanan jika yang menyediakannya adalah orang Islam. Tidak perlu lagi ragu-ragu, dan tidak perlu lagi sijil atau label halal.

Orang Islam pada hari ini banyak bergantung kepada orang-orang bukan Islam untuk mendapatkan makanan. Contohnya ayam, kita hanya menitik beratkan kepada hal penyembelihan ayam mestilah dilakukan oleh orang yang beragama Islam. Tetapi siapa dapat mengawal keadaan ladang ternakan ayam jika penternak itu orang bukan Islam. Siapa yang dapat menjamin makanan yang diberikan kepada ayam adalah makanan yang Halal. Keadaan kebersihan ladang dan kesihatan ayam-ayam tersebut.

Kenapa orang-orang bijak pandai agama pada hari ini, semakin jumud? bukan kah ekonomi juga merupakan satu fardu kifayah? tidakkah kita berdosa pada hari ini? Sudahnya jadilah isu ladang betik dibaja dengan tahi babi...

Maka marahlah kita kepada orang bukan Islam, kerana tidak memenuhi fardu kifayah umat Islam... (hayati Surah 5 ayat 3).

Betik subur baja najis babi

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

am@hmetro.com.my

PADANG TERAP: Cukup mengejutkan apabila sebuah ladang betik seluas kira-kira 250 hektar di Kampung Bukit, Naka, dekat sini, dipercayai menggunakan baja daripada najis babi bagi menambahkan kesuburan pokok selain meningkatkan kualiti buah berkenaan sebelum dipasarkan kepada orang ramai.

Difahamkan, setiap hari bekalan najis seberat tiga tan akan dihantar ke ladang berkenaan dan dipercayai dibekalkan penternak haiwan itu yang berpusat di Kulim dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Kedudukan ladang terbabit yang tersembunyi jauh dalam kawasan ladang getah dan kelapa sawit menyukarkan perbuatan itu dihidu pihak berkuasa serta penduduk setempat.

Menurut sumber, setiap urusan pembajaan, penjagaan pokok, penyemaian benih, pengutipan hasil dilakukan 87 pekerja terdiri daripada warga asing berasal dari Bangladesh dan India yang diupah pemilik ladang berkenaan sejak dua tahun lalu.

“Ladang ini dipercayai dimiliki seorang peniaga warga tempatan berasal dari Bidor, Perak dan mendakwa mengusahakannya bersama seorang usahawan terkemuka negara.

“Saya tidak pasti sama ada dakwaannya benar ataupun tidak tetapi setahu saya ladang ini berada di bawah kawasan ladang tebu yang dimiliki sebuah syarikat,” katanya ketika ditemui Kampung Sungai Kap, dekat sini, semalam.

Menurutnya, najis berkenaan dibeli secara pukal dan difahamkan satu tan hanya boleh diperoleh pada harga serendah RM350.

“Kalau hendak dibandingkan dengan harga baja campuran asli lain seperti baja tahi ayam ia lebih murah berkali ganda manakala kualitinya lebih baik,” katanya.

Peniaga barangan runcit, Shampi Aiwan, 28, berkata penduduk di kawasan itu sememangnya tahu lori mengangkut najis babi itu sering ke ladang betik berkenaan kerana laluan kampung mereka digunakan setiap hari.

“Bagaimanapun, kami semua mula berang selepas najis berkenaan jatuh di sepanjang jalan sejak kelmarin menyebabkan bau busuk yang amat meloyakan.

“Kedua-dua anak saya demam selepas menghidu bau berkenaan manakala pelanggan juga tidak mahu masuk ke kedai saya menyebabkan kerugian ratusan ringgit,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian, najis berkenaan sememangnya najis babi dan mereka mendakwa membawa bekalan itu ke ladang betik di kawasan berkenaan untuk dijadikan baja.

“Akibat tidak tahan dengan bau najis babi ini, saya menghubungi pihak Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Tinjauan wartawan Harian Metro di lokasi kejadian mendapati najis itu jatuh di sepanjang laluan termasuk di hadapan rumah dan masjid di kawasan berkenaan sehingga menimbulkan kemarahan penduduk.

Sementara itu, Pembantu Penguasa Majlis Daerah Padang Terap (MDPT), Zahari Che Omar, berkata hasil pemeriksaan mengenai tumpahan najis babi di jalan raya itu membawa kepada penemuan sebuah ladang dipercayai menggunakan najis berkenaan sebagai baja.

“Kami akan melakukan siasatan lanjut dan sampel najis itu akan diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Padang Terap untuk diuji, namun kami mengesyaki ia sememangnya najis babi berdasarkan bau dan warna najis yang ditemui di ladang ini,” katanya.