Tuesday, July 28, 2009

Kerana Kaedah, Islam Dicaci

Bom diri?? Adakah itu yang Allah mahu? Adakah itu kaedahnya untuk mendapatkan keredhaan Allah. Jika itu yang Allah redha, pasti kesannya baik selepas berlakunya pengeboman!

Tapi bagaimana yang anda nampak, banyak kebaikan atau keburukan, pastinya keburukan yang lebih banyak bukan.

Mudah bagi musuh untuk menjatuhkan Islam, apabila berlakunya pengeboman keluarlah di televisyen mengatakan ada 'Pertubuhan Islam x', mengaku melakukan pengeboman. Lihatlah bertapa mudahnya nama Islam dikaitkan dengan tindakan ganas itu.

Kalaulah yang melakukan itu bukan Islam, sudah pastinya mereka bersuka ria kerana berjaya menipu berjuta-juta penduduk dunia. Mereka berjaya menggambarkan bahawa Islam mengajar pengikutnya menjadi pengganas, sedangkan sebaliknya.

Seperti firman Allah :
Surah 2:207. Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya karena mencari keridhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya.

Berdasarkan ayat tersebut jelas mengatakan, ada manusia sanggup mengorbankan diri dalam mendapatkan keredhaan Allah dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambanya.

Jadi korban yang bagaimana yang Allah Mahukan, bagi melambangkan Allah Maha Penyantun? Adakah dengan mengebomkan diri. Adakah itu jihad yang sebaik-baiknya.

Perhatikanlah dengan tenang firman Allah ini:
Surah 25:52. Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengan Al Quran dengan jihad yang besar.

Kesimpulannya berjihadlah dengan Al-Quran dengan sungguh-sungguh, iaitu dengan ilmu Allah bukannya dengan keganasan. Itulah jihad yang besar sepertimana Nabi Muhammad SAW sendiri menentang kekafiran dengan berpandukan ilmu atau petunjuk Allah.

Hentikanlah kaedah-kaedah Jahiliyah yang tidak memberi manfaat sedikitpun kepada Islam bahkan menambahkan lagi persepsi buruk yang menyebabkan bertambahnya musuh Islam.

Zahirkanlah keindahan Islam yang sebenar dengan melaksanakan setiap apa yang terkandung di dalam Al-Quran sepertimana Rasulullah melaksanakan.